Monday, November 19, 2012

Jatuh sayang.


Salam.

Mungkin terlalu lama aku tinggalkan ruangan ini sehingga ia menjadi medan yang sunyi sepi. Diam seribu bahasa. Kini aku kembali, memerlukan khidmat ruangan ini untuk mendengar suara hati aku. Suara hati yang tertahan. Yang tak pernah dan tak mungkin bisa dilepaskan. Cukup sekadar ia membaca apa yang aku coretkan. Cukup sekadar mendengar.

Pertama kali berhadapan dengan keadaan sebegini buat aku tertanya, apa yang sedang berlaku? Lebih tepat apa yang sedang berlaku antara kita? Atau mungkin hanya terhadap aku. Entah. Aku sendiri tak mengerti. Aku tak punya jawapan untuk semua soalan itu. Mungkin aku sendiri tak cukup pasti tentang soalan yang timbul. Soalan yang masih kabur. 

Berbicara detik pertama aku sedar tentang perkara ini dimana hal yang kebiasaannya aku akan marah bila orang lain cakapkan kepada aku, tapi tidak dia. Entah kenapa aku tak pernah terasa hati setiap kali dia memanggil aku dengan panggilan yang sebegitu. Sehinggakan ia menjadi panggilan tetap untuk aku. Aku senang dengan panggilan itu.

Dia miliki sedikit sebanyak ciri yang aku ingini. DIa jujur. Tak pernah sembunyi siapa dirinya sama ada status mahupun kerjaya. Itu paling penting. Dan kejujuran itu yang membawa aku terfaktab hingga ke tahap ini.

Terlalu banyak untuk aku ceritakan. Cukup sekadar itu aku kongsikan. Biar cerita itu menjadi milik aku, rahsia aku. 

Aku tak tahu mana khilafnya. Sama ada mengenali engkau itu adalah satu kesilapan. Atau yang berlaku sekarang ini yang satu kesalahan. 

Hampir setiap hari aku tanya diri aku sendiri, apa ini yang aku mahu? Bodoh. Tidak ada siapa didunia yang mahu ada perasaan sebegini. Tidak. Aku sendiri tak pasti apa yang aku rasa. Apa yang aku rasa? Terlalu banyak perasaan. Terlalu sukar untuk aku rungkaikan.

Setelah sekian lama, saat ini aku tertanya. Mana letaknya diri aku pada dia? Soalan yang tak mungkin pernah dan bisa aku tanyakan kepada dia kerana ternyata dia sudah pun punya seseorang yang jauh lebih layak dari aku. Atau lebih mudah, yang hubungan dan perasaannya sudah jelas. Hampir halal. Hampir. 



'Seseorang' itu menjadi garis pemisah antara aku dengan dia. Aku tak pasti jika 'seseorang' itu sedar akan kewujudan aku dalam hidup sang kekasih hatinya ini. Sang kekasih hatinya yang sudah menjadi salah satu rutin harian aku untuk sekian lama. Sang kekasihnya yang berkongsi kisah suka dukanya dengan aku.

Apa ini salah aku kerana memberi ruang kepada insan yang sudah dimiliki? Tak. Aku pasti yang aku tak pernah memberi ruang untuk dia dalam diri aku. Itu aku pasti. Atau ini salah dia yang tetap mencari aku sedangkan diri sudah ditakluki? Entah.

Pernah dia bertanya mengapa aku cukup baik dengan dia. Aku tak punya jawapan. Aku tanyakan dia soalan yang sama. Dia juga tak punya jawapan. Diam membisu. 

Cuma aku dan dia tak pernah pergi jauh lebih dari batas pemisah dimana terletaknya 'seseorang' disitu. Cuba bertanya dalam gurau, cuba meluahkan dalam ketawa. Aku selalu mengingatkan diri aku tentang mana letaknya diri aku dan mana letaknya dia. Tapi dia seringkali cuba membuatkan aku lupa dengan hakikat yang seringkali aku tancapkan dalam minda aku. Dia milik orang. Katanya dia belum halal untuk sesiapa, makanya aku tak perlu takut. Tapi dalam diam, masing-masing cuba bertahan untuk berdiri disebalik garis pemisah yang wujud. Jangan lebih. Dan itu sangat sukar. 

Aku cuba lari dari dia, dari situasi. Tapi jauh mana aku lari, dia tetap cari. Aku tak nak terus hanyut dengan hal yang aku pasti tak kan pergi jauh. Cukup sampai sini sakitnya. Sebelum rasa perit, sebelum rasa pedih.

Hingga saat ini, aku masih tak pasti apa perasaan ini. Saat aku sayu berbicara hari bahagianya. Saat aku sedar yang aku perlu melepaskan dirinya pergi dan dia juga perlu melepaskan aku. Katanya mana mungkin dia kahwin 2 dalam masa terdekat. Aku membalas yang aku tak rela dimadukan. Katanya lagi kalau aku dileletakkan di posisi yang bongsu mungkin tak menjadi masalah bagi aku. Haha. Ada sahaja yang nak diguraukan.

Aku tahu itu bukan salah dia, bukan jugak salah aku.

Yang nyata, aku jatuh sayang pada orang yang betul tapi pada masa yang salah. Itu benar.

No comments:

Post a Comment