Friday, November 8, 2013

Si Ayah


Aku tak tahu kenapa tiba-tiba aku nak menulis. Mungkin sebab tadi ada terbaca satu status di fb dan secara tak sengaja hati aku tersentuh. Nah, 

"Anakku.
Memang ayah tak mengandungmu,
tapi darahnya mengalir didarahmu, namanya melekat dinamamu.
Memang ayah tak melahirkanmu,
tapi suaranya-lah yang pertama menghantarkanmu pada Tauhid ketika kau lahir.
Memang ayah tak menyusuimu,
tapi dari keringatnyalah setiap titisan yang menjadi air susumu.
Nak.
Ayah memang tak menjagaimu setiap saat,
tapi tahukah kau dalam doanya selalu ada namamu disebutnya.
Tangisan ayah mungkin tak pernah kau dengar kerana dia ingin terlihat kuat agar kau tak ragu untuk berlindung di lengannya dan dadanya ketika kau merasa tak aman.
Pelukan ayahmu mungkin tak sehangat dan seerat Ibu, kerana kecintaannya dia takut tak sanggup melepaskanmu.
Dia ingin kau berdikari, agar ketika kami tiada kau sanggup menghadapi semua sendiri.
Jauh didalam hatinya dia hanya ingin mampu membanggakanmu di mata Rasulullah s.a.w, menjadi penolong di Padang Mahsyar serta menjadi hijab dari api neraka.
Ibu hanya ingin kau tahu nak.
bahawa.
Cinta ayah kepadamu sama besarnya dengan cinta Ibu.
"Jagalah selalu kecintaan dari ayahmu dan janganlah engkau memutuskannya, kerana yang demikian lalu Allah SWT akan memadamkan cahaya dari padamu" (HR. Bukhari)
Anakku.
Pada diri ayahmu juga terdapat syurga bagimu."



Tentang ayah. Aku pasti ramai antara kita yang rapat dengan mak daripada ayah. Apa-apa pun cari mak. Kenapa tah. Dan terus terang, aku sendiri pun macam tu. Walau aku orang gelar 'anak ayah', tapi dari persepsi aku, aku lebih rapat dengan mak. Lumrahnya seorang anak akan lebih menghala kepada ibunya. Ikatan kasih tu orang kata lebih kuat. Atau mungkin kerana aku perempuan, dan mak juga perempuan secara semulajadi komunikasi tu lebih mudah. Aku tak pasti. 

Aku ni anak yang degil. Selalu panas bila dengan ayah. Sampai kadang-kadang aku rasakan apa ayah cakap dekat aku semuanya salah. Dan dengan darah muda, aku suka buat kepala. Kalau aku tak melawan, aku diam dengan sakit hati dekat dada. 

Jangan mencaci aku. Jangan cuba nasihat aku. Bukan aku menidakkan silap aku. Cuma aku nak kita tilik diri sendiri. Apa sepanjang hidup kau menjadi seorang anak, tak pernah sekali pun kau rasa dan buat apa yang aku pernah lakukan?

Sampai satu saat, bila aku semakin menginjak dewasa. Sudah tahu mencari rezeki. Mula sedar bagaimana susahnya seorang ayah membesarkan aku. Tika ini, persepsi aku mula berubah. Sifat panas dan sinis aku terhadap ayah cuba aku hindar. Mula belajar untuk kawal. Bagi aku, tak semua benda nak kena lawan. Cukup dengan diam. Tak banyak, cuma diam. Dan diam. Itu cara yang aku cuba praktikkan. Aku cuba. Aku dan ayah dari dulu sehingga kini tak pernah putus komunikasi. Setiap hari aku bertegur sapa dan kadang bergurau dengan cara sendiri. Sebab bagi aku, jangan terlalu buat hal sendiri sampai abaikan si ayah, kelak kau menyesal tak sudah.

Haih.

Aku sendiri tak pasti kenapa orang dan aku sendiri selalu mengenang pengorbanan seorang ibu sehingga terkadang lupa besarnya jasa sang ayah. Terlalu mengagung kedudukan si ibu sehingga lupa wujudnya ayah yang perlu disanjung. Mengejar syurga dibawah telapak kaki ibu sampai terlepas pandang kunci syurga ada pada ayah. 

Bila si ibu berkecil hati, risaunya bak mendengar guruh di langit. Tiba sang ayah, khabar berkecil hati bagaikan tak pernah wujud dalam kamus. Mari aku tanya, apa kau pernah sedar saat bila dia berkecil hati? Atau kau tak pernah peduli? Sifat si ibu mudah meluah segala yang terbuku, tapi tidak si ayah yang lebih suka simpan dan pendam. Bila ditanya, jawapan nya mudah dan masih seperti dulu. Dan terkadang sifat seorang ayah itu membuatkan dia terus tua bersama rasa hati dalam diam. 

Kadang-kadang aku terfikir, apa agaknya yang ayah aku rasa, apa yang dia fikir. 

Ramai anak-anak mengambil mudah dalam urusan si ayah dengan tanggapan ayah itu lelaki. Lumrah lelaki itu kuat dan gagah. Pasti dia boleh menjaga diri dan menahan perasaan layaknya seorang lelaki. Atas alasan itu, kau biar ayah ditepi dan terus memanja si ibu. Tapi apa kau lupa wahai si anak, ayah itu masih seorang ayah. Yang tetap dan masih mahu belaian dari anak-anaknya. Cuma tinggi egonya membuatkan dia terus diam seolah tak kisah dengan semua. Sedangkan dalam hati, cuma Tuhan yang tahu. 

Keadaan melebihkan ibu dari ayah membuatkan aku sendiri tertanya pada diri sendiri. Apa selama ini aku cukup adil terhadap mak dan jugak ayah aku. Kalau si anak kerap kali mempersoalkan keadilan si bapa dan si ibu terhadap sejumlah anak, tapi kita si anak bagaimana? Cuma punya satu ibu dan satu ayah perlu dibahagi layanan dan sayang dan sepatutnya tidak pernah wujud masalah untuk itu. Tapi mari kita muhasabah, apa kau layan, apa kau kasih, apa kau sayang keduanya dengan seadil-adilnya? 

Aku tak kata aku sudah menjadi anak yang baik, atau acah-acah sempurna. Jangan fikir aku menulis ini atas dasar berlagak solehah. Ini sekadar meluah rasa. Entah, mungkin sebab dek puisi Fynn Jamal-Biar tu kot :)

No comments:

Post a Comment